Friday, October 24, 2008

PJ Hilton Hargai Pekerja

Tanpa khidmat yang dicurahkan oleh golongan pekerja ini, pastinya perjalanan sesebuah hotel tidak lancar. Ini kerana hanya dengan khidmat mereka, segala urusan berkaitan kebersihan yang melibatkan mengemas bilik hotel, menukar tuala, sabun mandi, syampu atau kertas tandas yang baru dan lain-lain hanya dilakukan oleh mereka yang berkhidmat di bahagian housekeeping.

Menyedari pentingnya tenaga kerja mereka dalam industri perhotelan, hotel Hilton Petaling Jaya (PJ Hilton) mengadakan majlis khas bagi menghargai sumbangan kumpulan pekerja ini.

Menurut kenyataan PJ Hilton, majlis itu diadakan sempena sambutan Minggu Housekeeping Antarabangsa di hotel tersebut baru-baru ini.

Sambutan ini diadakan bagi menghargai ketekunan pasukan housekeeping yang terdiri daripada tukang cuci, atendan bilik, mereka yang bertanggungjawab di bahagian cuci pakaian, pakaian seragam dan linen.

Untuk cuba memahami cabaran fizikal mengenai tugas kakitangan houskeeping hotel, pengurus-pengurus di PJ Hilton 'turun padang' dengan menyingsing lengan bagi 'mengambil alih' rutin harian pekerja housekeeping seperti mengemas katil, mengambil pesanan tetamu dan menghantar tuala mandi di 553 bilik tetamu hotel berkenaan pada hari sambutan itu.

Tidak ketinggalan, ada juga pengurus yang cuba menyahut cabaran membersihkan bilik tetamu. Jane Wong, pembantu peribadi kepada Pengurus Besar PJ Hilton mengambil alih tugas sebagai atendan bilik yang biasanya membersihkan 18 buah bilik setiap hari.

Sebelum ini, katanya, beliau tidak pernah tahu bagaimana membersih dan menukar cadar bagi katil bersaiz besar.

Sepanjang program itu juga, sebanyak 17 pekerja housekeeping dihargai kerana rekod kehadiran penuh sepanjang tahun.

Malah ada di antara mereka yang mencatat kehadiran penuh sejak 10 tahun lalu.

Bintang dalam pasukan itu adalah Anson Othman, atendan bilik di hotel tersebut selama 17 tahun. Beliau dipilih sebagai pekerja terbaik oleh tetamu menerusi surat pujian yang diterima oleh pihak hotel.

Sehingga kini, PJ Hilton mempunyai 92 orang pekerja housekeeping dengan 40 daripadanya telah berkhidmat lebih 10 tahun.

Eksekutif Housekeeper PJ Hilton, Norashikin Yusoff berkata, kunci utama untuk mengekalkan rekod perkhidmatan yang lama bersama ahli pasukan ialah menyediakan satu persekitaran di mana individu berasa gembira untuk bekerja setiap hari.

"Kami sentiasa mengekalkan sikap terbuka dan komunikasi mesra di antara satu sama lain tanpa mengira pangkat termasuk saling hormati menghormati.

No comments: